Social Icons

Tazkirah Bulan Ramadhan


Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.

Saudara-saudari,

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?

Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap  umat Islam.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Saudara-saudari,

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri
sendiri.

Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Tazkiran di pagi khamis, Ramadhan ke-6


RAHSIA SUJUD DALAM SOLAT

Pernahkah kita terfikir setelah saban usia kita mendirikan solat berserta syarat rukunnya, apakah rukun solat yang paling disukai oleh Allah SWT. Dengan menyelami, memahami, menjiwai serta menghayati setiap detik ibadah atau solat yang dikerjakan barulah kita akan mendapat kemanisan dan faedah darinya. Barulah ibadah kita itu dapat mendinding dan mencegah diri kita dari dosa dan noda.

Firman Allah SWT yang bermaksud :-
" Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar
(Surah Al-Ankabut ayat:45) 

Segala rukun di dalam solat yang melibatkan qalbi (naluri), qauli (lisan) dan fi'li (perbuatan) mempunyai pengertian dan maksud yang amat mendalam sekali di sisi Allah SWT. Segala pergerakan di dalam solat sebenarnya sarat dengan hikmah dan pendidikan dari Allah SWT dan amalan atau rukun yang paling disukai oleh Allah ialah rukun sujud.

Sujud adalah waktu di mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Pergerakan sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan "rasa menghina dirinya" seseorang hamba itu di depan Tuhannya di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa "Ya Allah hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya pada-Mu sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan".

Salam Ramadhan


Selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga puasa kali ini diberkati dan diterima olehNya. Marilah kita meningkatkan amal ibadah untuk meperolehi ganjaran yang sagat besar.

Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w., beliau bersabda,
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka di ampunkan dosa-dosanya lalu."

(Riwayat Muslim : 1268)